Isnin, 9 Januari 2012

PERMASALAHAN EMPANGAN BAKUN

Masalah yang melanda empangan Bakun(Sawarak)
                            di Malaysia

          Sudah pun menjangkau 11 tahun sejak Projek Hidroelektronik Bakun Malaysia di Timur Sarawak – empangan terbesar pernah dibina di Asia Tenggara (dan Asia tidak termasuk China) – mula-mula diluluskan pembinaannya. Namun hari ini, setelah pelbagai penangguhan dan pemulihan, penskalaan semula, kontroversi dan bermacam kesukaran lain, dari segi kewangan dan politik, tarikh ia disiapkan masih samar-samar kerana ia masih bergelut dengan banyak masalah yang nampaknya makin meningkat dari sehari ke sehari.

         Projek bernilai RM9.12 bilion (US$2.4 bilion) itu, asalnya dijadualkan siap pada 2003, kini disasarkan untuk siap pada 2007. Walaupun Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi berkeras mahukan tarikh siap ini dicapai, menafikan spekulasi yang projek ini akan dikurangkan atau ditangguhkan, para pemerhati tidak meletakkan harapan yang tinggi. Sumber-sumber dalaman dilaporkan berkata projek ini telah terlewat kira-kira sembilan bulan, disebabkan masalah organisasi dan pembinaan. Sebuah firma pakar perunding kejuruteraan, J W Knowles, telah diberi kontrak untuk mengkaji kelewatan dalam pembinaan empangan tersebut.

          Menurut Abdullah, empangan ini diperlukan untuk memenuhi permintaan yang makin meningkat terhadap bekalan elektrik di Malaysia. Bagaimanapun, kebanyakan peningkatan permintaan bagi bekalan elektrik bukannya di Sabah dan Sarawak, di mana empangan ini berada, tetapi di semenanjung.


           Nampaknya terdapat bermacam-macam masalah yang dihadapi, dan ia bukan setakat berkenaan pembinaan empangan itu sendiri sahaja. Pada satu pihak, cadangan bagi pemasangan tapak peleburan aluminium berbilion ringgit di Similajau, Bintulu oleh seorang pemimpin korporat Malaysia dan pelabur Dubai, telah menemui kegagalan. Pada pihak yang lain pula, perancangan dikatakan sedang dibuat bagi pembangunan lebih banyak stesen janakuasa di Sarawak. Usaha sebegini akan mendatangkan persaingan kepada Bakun, yang telah pun menghadapi masalah mendapatkan pembeli untuk bekalan elektriknya.

            Sejak Julai, apabila kerajaan mengumumkan ia mungkin menyemak semula projek tersebut setelah sukar mendapatkan pembeli bagi kuasa yang dijana oleh empangan itu, spekulasi mula bersungguh-sungguh membicarakan sama ada projek ini perlu dikurangkan atau ditangguh. Jaminan terbaru perdana menteri bahawa projek tersebut akan disiapkan menjelang 2007 telah mematahkan cakap-cakap sedemikian, setidak-tidaknya buat masa sekarang.

            Projek Bakun mempunyai sejarah masalah yang panjang dan telah tenggelam dalam kontroversi sejak ia mula dicadangkan pada awal 1980an. Terletak di sebuah habitat hutan tropika yang rapuh bersaiz sebesar negara Singapura dan memerlukan pemindahan semula lebih 9,000 penduduk, projek ini telah lama dikritik sebagai mengancam alam sekitar dan mengganggu kehidupan sosial.

             Kertas kerja yang asal – yang dikemukakan pada 1980an, dibatalkan pada 1990 dan kemudian dipulihkan dan dipersetujui pada 1993 – bagi membekalkan 70% dari kuasa yang dihasilkan oleh empangan Bakun ke Semenanjung Malaysia melalui 668 kilometer talian atas di Sarawak, 643 kilometer kabel submarin di bawah laut dan 458 kilometer infrastruktur pengagihan di semenanjung. Setelah digantung sementara ketika kemuncak krisis ekonomi Asia pada 1997 dan kemudiannya dipulihkan sepenuhnya pada 2000, sejak itu saiz projek berkenaan telah dikecilkan – ia tidak lagi melibatkan kabel di bawah laut.

              Selain dari hutan yang dilimpahi banjir dan penghuni hutan yang kehilangan habitat; kebimbangan yang disuarakan termasuklah kemungkinan empangan runtuh, gegaran bumi, penyakit baru yang dibawa melalui air (termasuk shistomiasis, opisthorchiasis, malaria dan filariasis), gangguan kualiti air sungai, dan pengumpulan sedimen di belakang empangan yang akan membuatnya tidak berguna lagi dalam masa 50 tahun. Jumlah kawasan yang diserahkan untuk pembinaan empangan ini juga menyebabkan kerugian kira-kira 23,000 hektar tanah pertanian yang subur.

            Daya kemajuan ekonomi empangan ini juga pernah dipersoalkan, terutamanya dalam menghadapi kesukaran untuk menarik pelabur asing dan ketidakpastian tentang kosnya. Apabila krisis kewangan melanda negara pada 1997, perasaan cemas tentang ekonomi bersama-sama kebimbangan defisit akaun semasa yang meningkat memaksa projek itu ditangguhkan. Walaupun keputusan dibuat untuk menggantung projek itu buat sementara, sesetengah kerja pembinaan tetap dijalankan, terutamanya pembinaan terowong lencongn sungai, diteruskan tanpa gangguan. Pemindahan penduduk semula juga tetap berjalan, dengan harapan suatu hari nanti empangan ini dipulihkan semula. Jadi, walaupun ditangguhkan, projek Bakun terus mengganggu hidup dan kehidupan penduduk di kawasan tersebut.

                Dengan pemberhentian empangan Bakun, projek ini diserahkan kepada kerajaan Malaysia. Pada awalnya projek ini diambil oleh sebuah syarikat usahasama yang diterajui Ekran Berhad yang tersenarai awam dan terdiri daripada kerajaan negeri Sarawak, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Pertubuhan Bekalan Elektrik Sarawak (Sesco), Pertubuhan Perlombongan Malaysia Bhd (MMC) dan lain-lain. Pengerusi Ekran, Ting Pek Khing, diketahui ramai mempunyai hubungan rapat dengan perdana menteri ketika itu Mahathir Mohamad dan ahli politik terkenal yang lain.

           Perlantikan Ting pada 1994, seorang ahli perniagaan Sarawak dan taukeh balak, dan syarikatnya, Ekran, menimbulkan kontroversi kerana Ting tidak berpengalaman dalam pembinaan empangan dan projek ini diserahkan tanpa tender. Apa yang ada padanya hanyalah keyakinan Mahathir. Dengan melobi secara intensif, Ting berjaya meyakinkan Mahathir bahawa syarikatnya boleh menyempurnakan projek tersebut dengan cepat.

              Namun walaupun pembabitan Ekran di dalam projek ini telah pun berakhir, Ting tidak tersingkir sepenuhnya. Pada bulan Mei tahun ini, sebuah syarikat yang berkaitan dengan Ting, diamanahkan kerja-kerja pemindahan biologi besar-besaran, yang melibatkan menerangkan hutan yang akan dibanjiri oleh empangan Bakun.

               Semenjak pemulihan projek pada 2000, kontrak kerja-kerja am telah diberikan kepada sebuah konsortium, satu perkongsian 70:30, Usahsama Hidro Malaysia-China yang diteraui Sime Engineering dari Malaysia, yang mula bekerja pada Ogos 2003. Jika dakwaan yang projek ini telah lewat sembilan bulan didapati benar, kesannya yang paling buruk, boleh menyebabkan semakan semula penganugerahan projek ini. Ia juga akan memberi kesan domino memandangkan ia akan melambatkan penghantaran air dari empangan, yang akan melengahkan penghantaran kuasa kepada relau aluminium yang dirancang – sebuah projek usahasama di antara Dubai Aluminium Co Ltd (Dubal) dan Gulf International Investment Group (GIIG), sebuah dana pelaburan yang ditubuhkan bersama oleh usahawan kaya Malaysia Syed Mokhtar dan ahli kewangan antarabangsa yang beroperasi di Dubai Mohamed Ali Alabbar- yang diletakkan kira-kira 180 kilometer di pedalaman dari Bakun di Sarawak. Buat masa ini, perancangan untuk tapak relau telah diketepikan sementara kerajaan menyelesaikan masalah pembinaan yang dihadapi oleh projek ini. Di bawah perancangan ini, bagaimanapun, tapak ini akan menyerap 50% dari kuasa yang dihasilkan oleh empangan Bakun, menjadikannya pelanggan terbesar bagi projek 2,400 megawatt ini.

                 Kerajaan juga pada mulanya merancang untuk menjual 60% Sarawak Hidro, syarikat milik penuh Kementerian Kewangan dan pemilik serta promosi empangan Bakun sekarang kepada GIIG Capital. Perdana menteri, yang juga bertindak sebagai menteri kewangan, mengatakan sebuah perjanjian yang ditandatangani pada 2003 di antara Menteri Kewangan, Sarawak Hidro dan GIIG Capital telah luput kerana beberapa keadaan di bawah pakatan itu tidak dipenuhi dalam jangkamasa yang ditetapkan. GIIG mahu mendapatkan kuasa kawalan terhadap projek ini untuk memastikan adanya bekalan kuasa dari relau aluminium yang akan dibangunkannya menjelang 2007. Hakikat bahawa GIIG akan menjadi pemilik sebahagian bagi tapak relau dan Sarawak Hidro telah menimbulkan konflik kepentingan di kalangan permerhati.

            Sementara itu, beberapa laporan mengatakan kerajaan negeri Sarawak tidak mahukan adanya kemungkinan tapak janakuasa lain dibina di negeri itu. Jika ini berlaku, tidak mungkin kerajaan negeri akan menandatangani perjanjian pembelian kuasa dengan Sarawak Hidro untuk kuasa dari Bakun, yang akan meninggalkan projek ini dengan kancah permasalahan yang lebih berserabut.

              Terdapat desas-desus mengabarkan bahawa kerajaan mungkin terpaksa menimbangkan semula perancangan yang terlalu bercita-cita tinggi untuk membekalkan kuasa dari Bakun kepada Trans-Borneo Power Grid Interconnection, sebuah grid Borneo yang dihubungkan kepada Sarawak, Kalimantan Indonesia, Brunei dan Sabah. Walaupun pihak atasan kerajaan dan individu dalam industri dari Asean telah banyak memperkatakan tentang grid ini, kesukaran praktikal yang akan terlibat amatlah besar. Jika diukur dari pengalaman silam, tidak mungkin tugas ini akan terlaksana. Dalam hal ini, empangan Bakun mungkin terpaksa tinggal di atas lakaran papan lukisan sahaja – sekali lagi.
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan